| Patani adalah sebahagian
daripada tanah Tanah Melayu. Bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-19 Patani
telah menjadi mangsa dasar imperialistik kerajaan Siam. Dalam tahun 1826, penaklukan Siam
ke atas patani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk
mengukuhkan cengkamannya ke atas Patani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar
Thesaphiban. Dengan
itu, sistem pemerintahan kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan termeterainya
Perjanjian Bangkok pada tahun 1909,Patani telah diakui oleh British sebagai sebahagian
daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang-orang Melayu Patani.
Semenjak
penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam
keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol British di
Senggora, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang
misgoverned. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali berlaku di Patani.
Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja Kerajaan Melayu Patani, dengan
sokongan pejuang-pejuang Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti-Siam
menjadi lebih hebat lagi apabila kerajaan Pibul Songgram (1939-44) cuba mengasimilasikan
kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom.
Penglibatan
Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang
Melayu Patani untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tengku Mahmood
Mahyideen, putera bekas Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Mejar dalam
pasukan Force 136, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya
mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.
Cadangan
Tengku Mahmud itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk
mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas
perang nanti.
Harapan
itu semakin cerah apabila kuasa-kuasa berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada
bulan bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri (self-determination)
sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan.
Atas
semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku
Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Menara, telah mengemukakan petisyen kepada
Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada
pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, pendirian
British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan
dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam
penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani.
Kerajaan
British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah
jajahannya. Tidak kurang pentingnya, kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya
terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti
dalam tahun 1941.
Kebangkitan
Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor
pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai
negara penampan terhadap ancaman Komunis China. Justeru, Kerajaan British mahu memastikan
Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis.
Kerajaan British memerlukan kerjasama kerajaan Siam bagi menghapuskan kegiatan
penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu.
Kebetulan
pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi pentadbiran dan
sosio-ekonomi di Patani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Oleh
kerana itu, isu Patani mula dianggap kurang penting malahan kiranya dibangkitkan akan
menjejaskan hubungan dengan Siam.
Selepas
Persidangan Senggora pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas
tuntutan pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuangan Patani.
GEMPAR juga telah diharamkan. Tengku Mahmood Mahyideen telah ditekan manakala Haji Sulung
dihukum penjara. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood
Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.
Sehubungan
perjuangan politik kemerdekaan Patani, seorang pegawai Pejabat Tanah Jajahan British
pernah mengulas bahawa:
----------------------------------------------------------------------------------------------
If the affairs in this world were settled by common sense and equity, I
personally have no doubt what ever that Patani ought
to be seperated from Siam dan become part of Malaya. The inhabitants are 90%. Malays and
90% Muslims (in a Buddhist country). All their connections are with the south, and
particularly with Kelantan, and the Siamese record in Patani is one of dreary mis-rule interspersed with sporadic
outbursts of actual tyranny. There is no doubt that where the wishes of the inhabitants
lie, and a fair plebscite (if one could be arranged) could only have one result. In the
complex affairs of international politics, however, mere practical considerations of this
mind do not find much place |